Wednesday 27 July 2011

Keganasan Rumah Tangga Virus Masyarakat

Oleh Ibrahim Abdullah

Suami isteri perlu berpandu hukum agama elak konflik dalam perkahwinan

RUMAH tangga tempat berteduh dan menjanjikan sejuta kedamaian dan kasih sayang harmonis dalam institusi kekeluargaan. Islam sebagai ad-Din yang sempurna mengatur dan mengurus bagaimana mewujudkan kebahagiaan, selain menciptakan rumah tangga.

Hadis Nabi Muhammad bermaksud: "Baiti Jannati" (Rumahku, Syurgaku). Rumah tangga yang ditemukan kedamaian, kasih sayang (mawwadah), kebahagiaan, dan rahmat Allah diibaratkan seperti syurga dunia.

Imam Hasan al-Banna mengatakan dalam wasiatnya: "Jangan tinggikan suaramu melebihi keperluan pendengar, kerana hal demikian adalah perbuatan bodoh dan mengganggu orang lain." Suara tinggi atau keras dalam percakapan, berbantah-bantahan, ketawa terbahak-bahak atau suara menengking yang kuat adalah hal yang sensitif. Ia mendorong tercetus perselisihan dan pergaduhan dalam rumah tangga. Ia bukan etika dalam Islam.

Dalam rumah tangga Islam, tentu penghuninya selalu berusaha menerapkan etika Islam dalam bermuamalah dengan sesama anggota dan jiran tetangganya, menjaga kesopanan dalam bercakap, menghormati hak orang lain dan menjaga rahsia dalam rumah tangganya.

Kebahagiaan hidup berkeluarga hanya dapat dicapai jika suami isteri melaksanakan tanggungjawab diamanahkan. Suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memimpin isteri dan orang dalam tanggungannya mentaati Allah serta Rasul-Nya selain melaksanakan tuntutan ibadat dan memelihara daripada perbuatan maksiat dan dosa. Suami wajib memberi nafkah secukupnya dengan kadar termampu seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian dan kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan keluarganya.

Isteri pula wajib mentaati suami (selagi tidak menyuruh yang haram) serta berkhidmat dan memelihara kebajikan rumah tangga dan anak. Rasulullah bersabda bermaksud: "Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya." (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas, keluarga yang tidak berasaskan pendidikan dan ajaran Islam boleh mengundang pelbagai masalah, konflik, tiada persefahaman, penderaan dan pergaduhan. Akhirnya, berlaku keganasan dalam rumah tangga bahkan terjadi pembunuhan yang menyayat hati.

Keganasan rumah tangga adalah perbuatan kejam terhadap ahlinya. Kes itu timbul dengan pelbagai sebab antara lain kerana tidak memberi nafkah kewangan dan keperluan asasi lainnya. Juga, keganasan emosi untuk memalukan atau membalas dendam terhadap seseorang.

Keganasan fizikal seperti menyebabkan kecederaan dan kematian, meninggalkan mangsa di tempat berbahaya, memukul dan sebagainya, menyekat mereka berjumpa keluarga dan saudara, terbabit orang luar bersubahat untuk mencederakan mangsa dan lain-lain.

Daripada kes dilaporkan menunjukkan kadar peningkatan dari tahun ke setahun terhadap penderaan kanak-kanak dan isteri. Keganasan rumah tangga berlaku berikutan dipengaruhi pelbagai faktor antaranya pengalaman pelaku sendiri, keluarga, rakan, masyarakat dan keadaan persekitaran.

Keganasan berlaku akibat tekanan emosi dan perasaan marah dan tidak puas hati terhadap isteri dan anak atau ahli keluarga lain. Sesetengah kes bagaimanapun disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana takut dan malu. Jiran pula bersikap acuh tak acuh kerana menyifatkan itu masalah peribadi dan keluarga terbabit dan tiada kaitan dengan mereka.

Semua pihak perlu memainkan peranan mencegah keganasan berterusan dalam rumah tangga supaya tidak bertambah teruk dan merebak menjadi virus yang mengancam masyarakat. Pihak terbabit seperti kementerian, badan berkanun, badan bukan kerajaan dan masyarakat juga perlu bekerjasama menangani masalah itu.

Pada masa sama, orang yang melakukan keganasan hendaklah bertaubat dan memperbaiki diri sendiri kerana pengabaian tanggungjawab kepada keluarga dan rumah tangga adalah penganiayaan pada dirinya sendiri selain dosanya besar dan berat. Setiap perkahwinan perlu diikat dengan perasaan kasih sayang, hormat menghormati, bantu membantu, sikap tolak ansur dan tanggungjawab dalam semua perkara.

Suami sebagai pemimpin, pelindung dan tempat bergantung perlu menjalankan tanggungjawab melindungi anak, isteri dan lain-lain. Rasulullah adalah contoh terbaik sebagai seorang suami bertanggungjawab mengasihi dan menyayangi ahli keluarganya.

Gurau senda melampaui batas jejas keharmonian masyarakat

Oleh Nazri Hussein

BUDAYA bergurau senda secara melampau batas mula menjadi amalan di kalangan pelajar serta remaja. Antara budaya bergurau yang cukup popular sejak dulu ialah buli yang banyak diamalkan pelajar sekolah berasrama.

Walaupun niatnya baik iaitu hendak mendisiplinkan pelajar baru, amalan yang keterlaluan itu boleh menimbulkan kesan negatif. Banyak kes jenayah di kalangan remaja seperti buli, bergaduh, mencederakan rakan hatta membunuh dikesan berpunca daripada sikap gemar bergurau senda yang melampau batas serta tidak mengikut syariat ditetapkan Islam.

Islam agama yang mementingkan tatacara berakhlak serta tingkah laku beradab, menggariskan panduan dan etika ketika bergaul sesama rakan sebaya.

Menurut Imam al-Ghazali, antara aspek bergurau senda yang wajar dipelihara ialah seseorang perlu menjaga lidah daripada menutur perkataan boleh menyinggung, menjaga keaiban daripada terdedah kepada umum, tidak berdusta serta mengelak perbuatan mengumpat atau menabur fitnah.

Diriwayatkan Abdullah Amr, katanya seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW, orang Islam bagaimanakah paling baik? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang Islam yang paling baik serta dimuliakan Allah ialah di kalangan mereka yang menjaga orang Islam lain daripada bencana lidah dan perbuatannya."

Perbuatan bergurau secara keterlaluan sehingga mengaibkan orang lain amalan yang ditegah serta bertentangan dengan nilai murni diterapkan dalam masyarakat bagi memupuk toleransi dan persefahaman. Amalan keji seperti suka menyindir serta memberikan pelbagai gelaran buruk kepada seseorang perlu dijauhi kerana boleh mengundang prasangka buruk selain menimbulkan perasaan marah dan dendam. Akibatnya, masyarakat akan menjadi huru-hara dan kacau bilau.

Walaupun dari sudut psikologi, bergurau senda dapat meredakan tekanan perasaan disebabkan pelbagai musibah yang ditimpakan kepada seseorang, perlakuan itu jika melampau batas serta bertujuan menjauhi diri daripada mengingati Allah akan menjadi sia-sia.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanya hiburan yang melalaikan (gurau senda) serta permainan yang sementara." (Surah Hadid, ayat 20)

Rasulullah SAW ialah contoh terbaik yang sentiasa menjaga perilaku daripada perkara tidak bermanfaat, dipandang jelek serta boleh menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan sahabat. Dalam soal bergurau senda, Baginda mementingkan batas ditetapkan syarak serta meletakkan soal kebenaran sebagai perkara utama.

Menurut riwayat, sepanjang hidup Rasulullah SAW, Baginda hanya beberapa kali berjenaka dan bergurau senda di depan sahabat. Antara kisah menarik mengenai gurauan Baginda ialah ketika didatangi perempuan tua yang bertanya usia penghuni syurga.

Kata Baginda, semua penghuni syurga muda dan bukan mereka yang sudah lanjut usia. Perempuan itu menangis teresak-esak apabila memikirkan dirinya yang tidak berpeluang menjadi penghuni syurga.

Lantas, Rasulullah SAW yang hanya ingin bergurau menjelaskan perkara sebenar mengenai usia penghuni syurga yang sentiasa kekal muda tanpa bertambah umur sebagai tanda nikmat Allah kepada mereka. Penjelasan Baginda menceriakan wanita itu.

Malangnya, dalam soal pergaulan hidup seharian, tidak ramai yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan. Masih ramai yang mengamalkan gurauan melanggar sunnah, tidak beradab, mempunyai niat untuk mengaibkan serta sekadar ingin berseronok melalui jalan batil.

Keseronokan dan gurau senda melampaui batas adalah budaya yang dibawa Barat bagi melalaikan umat Islam daripada penghayatan serta perjuangan jihad sebenar.

Firman Allah bermaksud: "Adakah di antara kamu umat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang membuat salah. Mereka itulah orang yang beruntung (menang)." (Surah al-Imran, ayat 104)

Budaya bergurau senda jika diamalkan tanpa lunas syariat dan sunnah boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat dan umat sejagat. Sehubungan itu, berhati-hati dalam setiap gerak dan tindakan supaya kita terhindar daripada sikap buruk dan tercela.

Kaedah boleh diamal hindari mengumpat jadi budaya hidup

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

MENGUMPAT ialah menceritakan, menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.

Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui orang yang mendengarnya. Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud, "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Muslim).

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat. Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat. Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa.

Sabda Rasulullah, "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka, akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Sabda Rasulullah bermaksud, "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi. Diriwayatkan Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah, "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab, "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.

Oleh itu, banyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.

Antaranya ialah:

# Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

# Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir, memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam sudah busuk dan berulat.

# Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan bangkai seseorang.

Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:

# Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;

# Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;

# Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;

# Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan

# Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.